Jun 03, 2026 - FASSelangor FC telah mengharungi musim 2025/26 yang sangat padat dengan 51 perlawanan merentasi lima kejohanan utama iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, ACL TWO dan ACC Shopee Cup™.
Secara keseluruhan, skuad Gergasi Merah menamatkan musim dengan 27 kemenangan (16 Liga Super, tiga Piala FA, tiga Piala Malaysia dan empat ACC Shopee Cup™), 10 seri dan 14 kekalahan.
LIGA MALAYSIA
Selangor FC telah menamatkan Liga Malaysia pada 17 Mei yang lalu menentang PDRM FC dalam saingan Liga Super 2025/26 dan menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tempat ketiga dengan 52 mata daripada 24 perlawanan (16 kemenangan, empat seri dan empat kalah).
Manakala, dalam saingan Piala FA pula, skuad Merah Kuning bermula dengan dominan dengan kemenangan agregat 12-1 menentang Malaysia University dalam Pusingan 16. Momentum itu diteruskan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC dalam Suku Akhir dengan agregat 6-3. Namun, perjalanan terhenti di Separuh Akhir selepas perlawanan sengit menentang Sabah FC berakhir dengan agregat 3-3, dan tewas 4-5 menerusi sepakan penalti.
Bagi saingan Piala Malaysia pula, skuad Merah Kuning menewaskan Kelantan The Real Warriors dalam Pusingan 16 dengan keputusan 5-1 (secara agregat). Layak ke Separuh Akhir dengan menawan Negeri Sembilan FC 6-1 secara agregat dalam aksi Suku Akhir. Namun, pasukan tewas tipis 2-1 menentang Kuching City FC di Separuh Akhir.
PERLAWANAN ANTARABANGSA
Bagi saingan antarabangsa, skuad Red Giants telah diundi dalam Kumpulan G AFC Champions League TWO (ACL TWO) 2025/26 bersama Persib, Bangkok United FC dan Lion City Sailors FC. Walaupun bersaing sengit, pasukan hanya mengutip satu mata dan menamatkan saingan di tempat keempat.
Berbeza pula dalam ACC Shopee Cup™ 2025/26, Selangor FC diundi dalam Kumpulan A bersama Buriram United FC, BG Pathum United FC, Cong An Ha Noi FC, Tampines Rovers FC dan Cebu FC. Pasukan layak ke pusingan kalah mati setelah berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan berkongsi 9 mata bersama Buriram United FC; dua menang dan tiga seri.
Kemenangan ke atas Nam Dinh FC, Juara V.League 1 musim 2024/25 dengan agregat 4-1 di Separuh Akhir menjadi antara detik termanis musim ini. Namun, pasukan terpaksa akur selepas tewas kepada Buriram United FC dengan agregat 3-1 dalam perlawanan Akhir, sekali gus menamatkan kempen sebagai Naib Juara saingan ACC Shopee Cup™ 2025/26.
STATISTIK KESELURUHAN
Pasukan menghadapi situasi perubahan dua kali musim ini, pada awalnya dibimbing oleh ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi, kemudian Christophe Gamel membawa pasukan secara interim dan diambil alih sepenuhnya oleh Kim Pan-gon bagi keseluruhan musim 2025/26.
- Kim Pan-gon membawa 23 perlawanan; 15 menang, 5 seri dan 3 kalah
- Christophe Gamel membawa 18 perlawanan; 7 menang, 4 seri dan 7 kalah
- Katsuhito Kinoshi membawa 10 perlawanan; 5 menang, 1 seri dan 4 kalah
Di bawah bimbingan Kim Pan-gon, Selangor FC mencatat rekod tanpa kalah sebanyak 15 perlawanan berturut-turut.
Secara keseluruhan, skuad bimbingan tiga jurulatih ini telah menjaringkan 111 gol kompetitif dengan purata 2 gol setiap perlawanan.
Penyumbang terbanyak daripada 111 jaringan tersebut adalah penyerang prolifik Gergasi Merah, Chrigor Moraes dengan 42 gol, beliau merupakan satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam kelima-lima saingan bagi musim 2025/26. Beliau juga telah memecah rekod Bambang Pamungkas selama 19 tahun bagi gol terbanyak mengikut musim. Diikuti, Faisal Halim, Kapten pasukan dengan 22 gol. Kemudian, Alvin Fortes dengan 13 gol. Selain itu, Nooa Laine dan Kevin Deeromram berkongsi empat jaringan. Manakala, Mukhairi Ajmal, Izwan Yuslan dan Zach Clough menjaringkan tiga gol. Seterusnya, Zikri Khalili, Hugo Boumous, Noor Al-Rawabdeh, Quentin Cheng dan Willian Lira menjaringkan dua gol. Akhir sekali, Syahir Bashah, Vitor Pernambuco, Mamadou Diarra, Harith Haiqal, Richmond Ankrah, Kim Ji-ho dan Picha Autra masing-masing menyumbang satu gol untuk pasukan.
Faisal Halim terus meletakkan namanya dalam senarai pemain yang membuat jumlah bantuan gol terbanyak dengan 13 bantuan gol. Chrigor Moraes dengan 11 ‘assist’. Kemudian, Alvin Fortes dan Quentin Cheng membuat 10 ‘assist’. Noor Al Rawabdeh pula dengan enam ‘assist’. Nooa Laine, Zikri Khalili dan Hugo Boumous menghasilkan empat ‘assist’. Manakala, Izwan Yuslan, Mohammad Abualnadi, Omid Musawi dan Zach Clough dengan tiga ‘assist’. Syahir Bashah dan Kevin Deeromram pula menyumbang dua ‘assist’. Safuwan Baharudin, Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Mamadou Diarra, Kim Ji-ho, Jeon Seung-min, Sharul Nazeem dan Picha Autra masing-masing membuat satu bantuan gol.
Barisan pertahanan dan penjaga gawang pasukan pula berjaya mencatatkan 17 ‘clean sheet’ sepanjang musim ini. Daripada jumlah tersebut, 11 dicatat dalam saingan Liga Super, dua di Piala FA, dua di Malaysia Cup dan dua di ACC Shopee Cup™. Berdasarkan rekod individu, Kalamulllah Al-Hafiz mendahului dengan 11 perlawanan tanpa bolos. Sementara itu, Sikh Izhan pula mencatat 6 ‘clean sheet’ sejak beliau mula beraksi bersama pasukan.
Seterusnya, seramai 14 orang pemain merekodkan lebih 1,500 minit bermain iaitu Chrigor Moraes 3,947 minit, Nooa Laine 3,901 minit, Faisal Halim 3,852 minit, Quentin Cheng 3,397 minit, Kalamullah Al-Hafiz 2,949 minit, Noor Al Rawabdeh 2,879 minit, Mohammad Abualnadi 2,620 minit, Alvin Fortes 2,574 minit, Richmond Ankrah 2,184 minit, Mamadou Diarra 2,141 minit, Syahir Bashah 2,086 minit, Harith Haiqal 1,988 minit, Zikri Khalili 1,734 minit dan Safuwan Baharudin 1,575 minit.
Dalam masa yang sama, seramai empat orang pemain muda berjaya membuat penampilan pertama mereka bersama kelab Gergasi Merah iaitu Raimi Shamsul (22 tahun), Aiman Hakimi (20 tahun) dan Moses Raj (20 tahun) dalam perlawanan Pusingan ke-16 pertama saingan Piala FA menentang Malaysian University. Serta, Danish Iskandar (19 tahun) dalam perlawanan ke-9 Liga Super menentang Sabah FC.
Selain itu, tiga pemain Gergasi Merah turut mencapai 100 penampilan bersama skuad Selangor FC dalam musim ini iaitu Zikri Khalili, Safuwan Baharudin dan Faisal Halim.
Antara fakta menarik lain, empat pemain telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Shopee Star Of The Match bagi saingan ACC Shopee Cup™ 2025/26; Chrigor Moraes 3 perlawanan (#NAMSFC, #SFCNAM & SFCBGP), Faisal Halim 2 perlawanan (#SFCCHN & #SFCTRF), Omid Musawi dalam aksi #SFCDHC dan Hugo Boumous perlawanan Akhir pertama menentang Buriram United FC.
Secara keseluruhan, musim ini penuh dengan pembelajaran dan kemajuan buat skuad Gergasi Merah. Walaupun tidak semua kejohanan berakhir dengan kejuaraan, pasukan berjaya mencapai beberapa pencapaian yang baik seperti Naib Juara ACC Shopee Cup™, kedudukan tiga teratas Liga Super serta perkembangan yang dilihat secara berpasukan dan individu.
Pihak pengurusan Selangor FC bangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh para pemain sepanjang musim ini. Tidak lupa juga barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Kim Pan-gon serta barisan pegawai pasukan yang telah bekerja keras di belakang tabir bagi memudahkan urusan pasukan mengharungi sesi latihan serta perlawanan.
Terima kasih untuk musim 2025/26.
Demi Kebanggaan!